104 Penggerak Rumah Ibadat DUN Semop Terima Penghargaan
PULAU BRUIT: Dedikasi imam, bilal dan marbot yang saban hari mengimarahkan masjid serta surau di DUN Semop tidak dipandang sepi apabila seramai 104 pegawai rumah ibadat itu menerima cenderahati dan sumbangan penghargaan sebagai tanda pengiktirafan terhadap khidmat bakti mereka kepada masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol telah menyempurnakan penyampaian berkenaan dalam majlis yang diadakan di sekitar Pulau Bruit pada Sabtu.
Program berlangsung selama dua hari bermula 28 Februari hingga 1 Mac 2026 itu melibatkan pegawai terdiri daripada imam, bilal dan marbot dari 17 buah masjid serta sembilan buah surau di seluruh kawasan DUN Semop.
Setiap penerima menerima cenderahati berupa minyak wangi, kain selendang serta sumbangan wang tunai RM100, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM10,400.
Program dilaksanakan mengikut zon bagi memudahkan penyertaan penerima, melibatkan 70 penerima dari Zon Utara Pulau Bruit dan Paloh, manakala 34 penerima lagi dari Zon Bintangor.
Majlis bagi Zon Pulau Bruit dan Paloh diadakan pada 28 Februari di Masjid Al-Quddus Kampung Betanak (39 penerima), Masjid Abu Bakar As-Siddiq Kampung Sebako (25 penerima) dan Masjid Darul Ikram Kampung Serdeng (enam penerima).
Sementara itu, majlis bagi Zon Bintangor dijadual berlangsung pada 1 Mac 2026 bertempat di Dewan Dayang Bai, Kompleks Komuniti Bintangor, melibatkan 34 penerima.
Dalam majlis tersebut, Datuk Abdullah turut memaklumkan bahawa pihak masjid dan surau di kawasan DUN Semop telah menerima peruntukan sebelum ini bagi melaksanakan pelbagai aktiviti sempena bulan Ramadan, sebagaimana yang dilaksanakan pada setiap tahun bagi memeriahkan sambutan bulan yang mulia itu.
Beliau berkata, peruntukan tersebut membolehkan pihak masjid dan surau menganjurkan pelbagai program keagamaan termasuk majlis berbuka puasa, tadarus al-Quran serta aktiviti pengimarahan masjid dan surau yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Selain itu menurutnya, peruntukan khas juga telah disalurkan bagi tujuan membaik pulih dan menaik taraf rumah ibadat di kawasan DUN Semop sebagai usaha berterusan memastikan kemudahan beribadat berada dalam keadaan selesa dan kondusif untuk kegunaan masyarakat.-EDISI UKAS