Program Kenali Budaya dan Adat Resam Etnik Bagatan Perkukuh Pemeliharaan Warisan
KAPIT: Program Kenali Budaya dan Adat Resam Etnik Bagatan dilaksanakan sebagai usaha memperkenalkan serta memperkukuh pemahaman terhadap warisan budaya komuniti tersebut yang merupakan sebahagian daripada khazanah kepelbagaian budaya Sarawak.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Datuk Snowdan Lawan di Rumah Philip, Nanga Merit di sini, pada Sabtu.
Etnik Bagatan merupakan salah satu daripada 34 etnik di Sarawak dengan anggaran populasi kurang daripada 10,000 orang, yang secara tradisinya berasal daripada 18 buah rumah panjang di kawasan Rajang, Anap di Bintulu serta Penyarai di Tatau.
Komuniti Bagatan mempunyai keunikan tersendiri dari segi adat resam, bahasa, sejarah lisan, warisan tak ketara dan amalan tradisi.
Pelaksanaan program ini mendapat sokongan Dana Mudahcara Warisan dan Kesenian sebagai inisiatif memperkasa usaha pemeliharaan, pendokumentasian dan pemindahan pengetahuan warisan budaya tidak ketara.
Program ini diinisiasikan oleh Persatuan Usahawan Sarawak dengan kerjasama komuniti setempat di Kapit bagi memperkenalkan adat resam dan sejarah komuniti Bagatan di samping membangunkan kraftangan serta keusahawanan berasaskan warisan.
Pendekatan tersebut membolehkan elemen budaya Bagatan diketengahkan melalui penghasilan produk kraftangan tradisional, seni hiasan dan busana beridentiti tempatan, sekali gus membuka peluang penjanaan ekonomi kepada komuniti setempat khususnya golongan belia dan wanita.
Majlis perasmian turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Warisan dan Industri Kreatif Dr Elena Chai, wakil kepada Residen Kapit Daniel Batin, Pegawai Daerah Kapit Geoffrey Kendawang, Pengerusi Majlis Daerah Kapit Andy Lawrence, Penghulu Esik, Ahli Majlis Daerah Kapit Aman serta Setiausaha Persatuan Usahawan Sarawak Cecilia Lagak.-EDISI UKAS