KANOWIT: Nilai perpaduan serta jati diri komuniti yang kukuh menjadi kunci utama dalam memastikan Sarawak terus melakar kemajuan dan dihormati di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, negeri ini kini bergerak ke hadapan selari dengan aspirasi menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.
Beliau berkata, perubahan persepsi terhadap Sarawak dalam tempoh sedekad kebelakangan ini jelas menunjukkan kemajuan yang dicapai hasil kepimpinan yang mantap serta kestabilan yang dinikmati negeri ini.
"10 tahun lepas, apabila kita menyatakan kita berasal dari Sarawak, mungkin ada yang memandang rendah.
“Namun hari ini, apabila kita menyebut nama Sarawak, orang ramai memandang tinggi kepada kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kebajikan Kaum Cina N50 Machan dengan kerjasama Komuniti Cina Kanowit, di sini pada Sabtu.
Menurut Datuk Amar Profesor Dr. Sim, perubahan persepsi tersebut merupakan hasil kepimpinan yang kukuh, pengurusan kewangan yang berhemah serta perpaduan erat dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Sarawak.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur seperti jaringan jalan raya, hospital dan sekolah akan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri.
Sehubungan itu, Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu menggesa masyarakat Cina di kawasan Machan agar terus mengekalkan semangat perpaduan serta berpandangan jauh demi memastikan pembangunan yang berterusan.
"Kita kini berada pada kedudukan yang lebih kukuh, namun masih banyak perkara yang perlu dikejar.
“Pembangunan mestilah berkesinambungan dan ini menuntut kita semua untuk bergerak maju bersama-sama," jelas beliau.
Menyentuh aspek kebajikan rakyat, beliau turut menekankan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan pendidikan percuma serta memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan, termasuk usaha memperkukuh kemudahan rawatan kanser di Sarawak.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong dalam ucapan aluannya merakamkan penghargaan kepada Datuk Amar Profesor Dr. Sim atas kesudian beliau hadir memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina bersama komuniti setempat.
Beliau berkata, program tersebut berjaya menghimpunkan masyarakat Cina dari kawasan Machan dengan kehadiran dianggarkan sekitar 700 orang.
Hadir sama, ADUN Ngemah Anyi Jana, Temenggong Vincent Lau Lee Ming, Pemanca Leong Khing Hee, Pegawai Daerah Kanowit, Cerisologo Sabut dan Ketua Polis Kanowit Junical Ujal.-EDISI UKAS