Program Agihan Rezeki Ramadan Eratkan Hubungan Komuniti di Pusa
PUSA: Pusat Khidmat P201 Batang Lupar dengan kerjasama pelajar Tingkatan 6 SMK Pusa telah menganjurkan Program Agihan Rezeki Ramadan bertempat di Pusat Khidmat P201 Batang Lupar pada Jumaat.
Program tersebut melibatkan pengagihan bubur pedas kepada penduduk sekitar Pekan Pusa sebagai pengisian sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Inisiatif ini bertujuan mengeratkan hubungan antara Pusat Khidmat dan komuniti setempat di kawasan Pusa, di samping menyemai semangat kebersamaan dan kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.
Sebanyak 300 bekas bubur pedas telah berjaya diagihkan kepada warga penduduk pada petang tersebut.
Kehadiran dan penglibatan aktif para pelajar Tingkatan 6 bersama guru-guru jelas mencerminkan komitmen tinggi dalam aktiviti kemasyarakatan serta penerapan nilai ihsan dan keprihatinan.
Program ini bukan sekadar pengagihan makanan, malah menjadi simbol perpaduan, semangat gotong-royong dan keprihatinan terhadap masyarakat, khususnya sepanjang bulan Ramadan. -EDISI UKAS