LAWAS: Seramai 240 peniaga menyertai Bazar Ramadan Daerah Lawas tahun ini, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan serta peranan bazar tersebut dalam merancakkan ekonomi tempatan dan menyediakan pelbagai pilihan juadah kepada orang ramai sepanjang bulan Ramadan.
Perasmian Bazar Ramadan Daerah Lawas 2026 telah diadakan di Dataran Bandar Lawas dan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong pada Jumaat.
Menurut Dato Henry, bazar yang dikelolakan oleh Majlis Daerah Lawas itu turut menyaksikan peningkatan jumlah penyertaan peniaga berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, penganjuran bazar bukan sahaja memberi peluang kepada peniaga menambah pendapatan, malah merancakkan ekonomi tempatan serta menyokong perkembangan usahawan kecil agar terus berdaya saing.
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin berkata pemilihan tapak baharu bazar berhampiran Kompleks Pejabat Pentadbiran Lawas mencerminkan pembangunan pesat yang sedang dinikmati oleh penduduk di daerah itu.
Majlis turut diserikan dengan pengagihan bubur cha cha kepada pengunjung hasil sumbangan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).
Selain itu, orang ramai juga berpeluang menerima Baucar RM20 Touch ‘n Go menerusi Program Inisiatif Payung Rahmah anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Turut hadir Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Setiausaha Majlis Daerah Lawas Zulkifli Sahari, Temenggong serta pemimpin masyarakat setempat.-EDISI UKAS