Kestabilan Ekonomi Sarawak Bawa Limpahan Manfaat Kepada Rakyat
LIMBANG: Kestabilan ekonomi Sarawak terus memberi limpahan manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini menerusi pelaksanaan projek pembangunan serta inisiatif bantuan yang dirangka khusus demi kesejahteraan rakyat kini dan masa hadapan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kekal komited memacu Sarawak ke arah kecemerlangan melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan status negeri berpendapatan tinggi.
Menurut beliau, pelaksanaan PCDS 2030 memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat serta kemampanan, selain memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang memberi impak positif khususnya kepada golongan B40.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bedudun Ramadan anjuran Exco Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Negeri Sarawak di Surau Nurul Azmi, Kampung Sembiling, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan setiap fasa pembangunan yang dirancang turut disertakan dengan penyaluran bantuan secara langsung bagi memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara seiring arus kemajuan.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus menyokong kepimpinan Premier Sarawak dalam meneruskan agenda pembangunan serta memperjuangkan hak Sarawak dalam Perlembagaan Malaysia.
Tambah beliau, peranan sayap parti termasuk Pemuda, Wanita, Badan Bapa serta golongan belia amat penting dalam memastikan hubungan erat bersama rakyat sentiasa terjalin sama ada ketika senang mahupun berdepan cabaran.
Program Bedudun Ramadan tersebut turut menjadi platform untuk beliau berinteraksi secara langsung dengan rakyat di peringkat akar umbi selain meneliti permasalahan serta keperluan di kampung dan surau yang memerlukan perhatian segera.
Turut hadir Naib Ketua Pemuda PBB Negeri merangkap Ketua Pemuda PBB Bukit Kota, Sufian Mohat, Setiausaha Politik Premier merangkap Penolong Bendahari Pemuda PBB Negeri, Afiq Brahim, Ketua Kampung Sembiling, Sulaiman Adi, Ketua Wanita, Niti Rosli serta wakil Exco Pemuda PBB dari Bintulu, Sibu, Kuching, Gedong dan Bukit Sari bersama Badan Bapa, Pemuda, Wanita dan belia Bukit Kota.-EDISI UKAS