Kerajaan Sarawak Terus Perkasa Agenda Mesra Warga Emas
MIRI: Kerajaan Sarawak terus komited memperkasa agenda mesra warga emas melalui pelaksanaan pelbagai dasar kebajikan dan pembangunan inklusif yang berteraskan kesejahteraan rakyat.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, golongan warga emas merupakan tonggak keluarga serta asas penting dalam pembangunan masyarakat yang wajar terus dihargai dan diberi perhatian.
Menurutnya, kemajuan dan keharmonian yang dinikmati di Miri hari ini adalah hasil usaha, pengorbanan serta dedikasi generasi terdahulu.
“Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh dasar kebajikan serta melindungi kesejahteraan warga emas melalui pendekatan pembangunan yang inklusif dan berteraskan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) Miri, di sini, pada Sabtu.
Beliau turut memetik aspirasi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang menekankan kepentingan pembinaan masyarakat mesra warga emas melalui dasar menyeluruh serta sokongan berterusan.
Sejajar komitmen tersebut, pelbagai inisiatif berasaskan komuniti telah dilaksanakan termasuk penubuhan pusat aktiviti dan perkhidmatan warga emas bagi menyediakan ruang interaksi sosial, sokongan kesihatan serta program pembangunan diri.
Selain itu, usaha turut dipergiat bersama pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kemudahan awam yang selamat, mudah diakses dan mesra warga emas disediakan di kawasan bandar dan luar bandar.
Pada majlis sama, beliau turut mengagihkan geran peruntukan berjumlah RM10,000 kepada PPWE Miri bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan pusat berkenaan, selain menyampaikan sumbangan angpau kepada warga emas berusia 80 tahun ke atas.
Turut hadir, Pengerusi Pengelola Majlis Irene Lue, Pengerusi PPWE Miri Wee Ah Siew serta ahli-ahli warga emas pusat berkenaan.-EDISI UKAS