Majlis Ramah Angpao SJK Su Ming Meriahkan Sambutan TBC Di Sarikei
SARIKEI: Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina di Sarikei terus dirasai menerusi Majlis Ramah Angpao SJK Su Ming 2026 yang diadakan di SJK Su Ming.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii pada Jumaat.
Dalam ucapannya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok melahirkan rasa gembira kerana dapat bersama warga sekolah meraikan perayaan yang penuh makna ini dalam suasana yang meriah dan harmoni.
“Setiap usaha dan pengorbanan hari ini merupakan asas penting dalam membentuk generasi yang bakal menjadi tonggak pembangunan negara pada masa hadapan.
“Saya berharap para pelajar sentiasa berani menghadapi cabaran serta rajin menuntut ilmu demi masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para guru atas dedikasi dan komitmen dalam mendidik anak bangsa, serta mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan padu kepada pihak sekolah.
Katanya, sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai wakil rakyat, pelbagai usaha telah dilaksanakannya bagi meningkatkan kemudahan sekolah termasuk menaiktaraf infrastruktur, membantu penyediaan kelengkapan persekolahan serta menambah baik kemudahan asas demi keselesaan guru dan pelajar.
Beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan kerajaan terus disalurkan bagi pembangunan infrastruktur asas serta kemudahan pendidikan di kawasan Sarikei dan Meradong demi menjaga kebajikan rakyat secara menyeluruh.
Selain itu, beliau menyatakan penghargaan terhadap kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang berjaya memastikan kestabilan politik dan ekonomi negeri terus kukuh.
Dalam majlis tersebut, beliau turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada pihak sekolah bagi menyokong aktiviti tahunan sekolah. - EDISI UKAS