Program Iftar Kampung Pemukat Perkukuh Ukhuwah, Semai Semangat Kebersamaan
LAWAS: Program Iftar Ramadan Kampung Pemukat terus menjadi wadah mempererat hubungan silaturahim serta memupuk nilai kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat sempena bulan Ramadan.
Program bertemakan “Ramadan Disantuni, Ukhuwah Diperkukuh” itu telah diadakan pada Sabtu di pekarangan Masjid Noriman, Kampung Pemukat, Kuala Lawas dengan penyertaan penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus mencerminkan komitmen komuniti dalam memelihara perpaduan dan keharmonian kampung.
Anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Masjid Noriman serta Persatuan Belia Wanita Islam (PBWI), program tersebut merupakan penganjuran kali kedua dan dirancang untuk diteruskan sebagai acara tahunan.
Ketua Kampung Pemukat, Joferi Bakir berkata, program berkenaan memberi ruang kepada penduduk untuk berkumpul dalam suasana harmoni di samping mengeratkan hubungan sesama masyarakat.
“Program seperti ini bukan sahaja menghidupkan semangat Ramadan, malah membantu memperkukuh hubungan silaturahim, memupuk nilai hormat-menghormati, kerjasama serta semangat kekeluargaan dalam kalangan penduduk,” katanya.
Menurut beliau, sambutan menggalakkan daripada orang kampung membuktikan inisiatif tersebut memberi impak positif dalam usaha membina masyarakat yang bersatu padu dan harmoni.
Program itu turut diisi dengan ceramah Ramadan sebagai pengisian rohani sebelum majlis berbuka puasa.
Selain itu, konsep potluck dilaksanakan dengan setiap keluarga membawa juadah masing-masing untuk dikongsi bersama sebagai simbol kebersamaan dan semangat gotong-royong yang menjadi teras kekuatan komuniti.
Inisiatif seumpama ini dilihat mampu memperkasakan jaringan sosial masyarakat setempat serta menyemarakkan penghayatan Ramadan dalam suasana penuh muafakat dan kasih sayang.-EDISI UKAS