Tiada Tangkapan Orang Tidak Berpuasa Dicatatkan Setakat Ini
KUCHING: Tiada penangkapan bagi rakyat Islam di Sarawak yang tidak berpuasa telah dicatatkan setakat ini yang memasuki hari ke-11 bulan Ramadan.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, ini menunjukkan umat Islam di Sarawak mematuhi tanggungjawab wajib untuk berpuasa.
"Bagi mereka yang tidak dapat berpuasa atas sebab-sebab tertentu, mereka dinasihatkan untuk tidak makan di kawasan keramaian," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Agihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Tebingan Sungai BGS, Kampung Sourabaya Ulu pada Ahad.
Datuk Dr Abdul Rahman memberitahu, pihaknya melalui agensi-agensi Islam juga sering menasihati umat Islam Sarawak untuk menunaikan kewajipan berpuasa.
Tambahnya, satu pasukan pemantauan dan penguatkuasaan juga telah digerakkan dari semasa ke semasa dalam usaha menguatkuasakan kewajipan.
Dalam perkembangan lain, Datuk Dr Abdul Rahman menasihati rakyat Sarawak di Timur Tengah agar terus berhati-hati, sentiasa menjaga keselamatan diri dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada saluran media massa di negara-negara yang terlibat.
Ini susulan peperangan tercetus melibatkan antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran yang turut melibatkan beberapa negara di Timur Tengah seperti Qatar, Mesir, Bahrain dan negara-negara yang menerima tempias.
"Kita pastikan rakyat Sarawak yang berada di Timur Tengah agar mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa berhati-hati kerana kita belum pasti keadaan sama ada semakin buruk atau dapat diatasi dengan segera.
"Walau bagaimanapun, kita berdoa agar keadaan ini semakin reda dan peperangan ini dapat dihentikan dengan segera," ujarnya. -EDISI UKAS