Geran Khas MRP Perkukuh Aktiviti Kebajikan Dan Kebudayaan Persatuan Deng Sarawak
BINTANGOR: Penyaluran Geran Khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Deng Sarawak diharap dapat memperkukuh pelaksanaan pelbagai aktiviti kebajikan serta kebudayaan persatuan berkenaan pada masa akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata sumbangan tersebut merupakan tanda sokongan terhadap komitmen dan usaha berterusan persatuan dalam menganjurkan program yang memberi manfaat kepada ahli serta komuniti setempat.
Menurut beliau, persatuan seperti Deng Clan memainkan peranan penting dalam memelihara warisan budaya, adat resam serta nilai kekeluargaan yang menjadi tunjang kekuatan masyarakat selain menjadi platform penyatuan komuniti pelbagai generasi.
“Saya amat gembira dan berbesar hati kerana dapat bersama-sama meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dengan ahli Persatuan Deng yang hadir dari pelbagai bahagian negeri ini.
“Saya juga memuji semangat kerjasama yang kukuh dalam kalangan ahli persatuan yang sentiasa berganding bahu menjayakan pelbagai program kebajikan, kebudayaan dan kemasyarakatan demi manfaat generasi kini dan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Perhimpunan Tahun Baharu Cina Persatuan Deng Clan di sini pada Sabtu.
Datuk Ding berharap agar sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuhkan lagi peranan persatuan sebagai wadah penyatuan masyarakat serta platform mempererat hubungan antara generasi muda dan warga emas dalam komuniti.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa perpaduan antara kaum yang terus dipupuk di Sarawak menjadi contoh terbaik keharmonian dalam kepelbagaian yang perlu dikekalkan.
Majlis tersebut dimeriahkan dengan sesi ramah mesra, penyampaian cenderamata serta jamuan makan tengah hari dalam suasana penuh muhibah yang jelas menggambarkan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti di Bintangor.-EDISI UKAS