KOTA SAMARAHAN: Program Agihan Bubur Pedas anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Stakan dan Program Jerayawara Bubur Lambuk anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Stakan berjaya mengagihkan 1,000 bubur bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan tahun ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Tuah Jini yang juga Timbalan Ketua PBB Cawangan Stakan.
Sebanyak 500 bekas bubur pedas telah diagihkan oleh PBB Cawangan Stakan manakala 500 bekas bubur lambuk lagi disediakan oleh SABERKAS Cawangan Stakan, menjadikan keseluruhan 1,000 bekas bubur untuk diedarkan kepada penduduk setempat dan kariah masjid.
Dalam ucapannya, Tuah berkata kedua-dua program tersebut mencerminkan kesepaduan antara parti dan pertubuhan belia dalam memperkukuh hubungan silaturahim serta menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Menurut beliau, penganjuran program kebajikan seperti ini bukan sahaja mengimarahkan Ramadan, malah menjadi wadah menyemai nilai gotong-royong, semangat kesukarelawanan dan keprihatinan dalam kalangan generasi muda.
“Ramadan adalah bulan untuk kita memperbanyakkan amalan bersedekah dan berkongsi rezeki.
“Program seperti ini membuktikan komitmen berterusan PBB dan SABERKAS dalam mendekati rakyat serta memastikan kebajikan komuniti sentiasa diberi perhatian,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa, sukarelawan serta penduduk kampung yang berganding bahu menjayakan penyediaan bubur pedas dan bubur lambuk tersebut. -EDISI UKAS