Terap Semangat “Anang Rindang” Untuk Perkukuh Kerjasama Rakyat
SONG: Masyarakat di Song diseru agar terus mengamalkan semangat “Anang Rindang” atau tidak berpecah-belah dalam usaha memperkukuh kerjasama rakyat bagi menyokong agenda pembangunan kerajaan di daerah ini.
Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata, masyarakat di daerah Song perlu mengekalkan perpaduan yang tinggi serta tidak membuang masa dengan pertelingkahan sesama sendiri kerana kerjasama erat merupakan kunci kepada kemajuan bersama.
Menurut Ahli Parlimen Kapit itu, rakyat seharusnya memberi tumpuan kepada projek serta inisiatif kerajaan yang mampu membawa pembangunan dan manfaat kepada kawasan masing-masing.
“Kita amat bersyukur kerana masyarakat di daerah Song hidup dalam perpaduan yang baik. Oleh itu, janganlah kita membuang masa dengan bertelingkah sesama sendiri, sebaliknya teruskan semangat ‘Anang Rindang’ dan bekerjasama antara satu sama lain demi mencapai pembangunan untuk kebaikan bersama.
“Kita juga amat beruntung di Sarawak kerana berada di bawah pimpinan Premier Sarawak yang sentiasa fokus merancang serta membawa pembangunan kepada negeri ini.
“Justeru, menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Sarawak untuk terus mengekalkan perpaduan dan hidup secara harmoni,” katanya ketika berucap pada Jamuan Muhibah Makan Malam Tahun Baharu Cina 2026 Daerah Song yang diadakan di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Cina serta komuniti Cina di Song yang berjaya menganjurkan program berkenaan.
Beliau berkata, masyarakat di daerah Song yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama mampu mengekalkan keharmonian sehingga kini hasil sikap tolak ansur serta semangat perpaduan yang diamalkan sejak sekian lama.
“Saya amat bersyukur kerana masyarakat di daerah Song yang berbilang kaum dan agama dapat hidup dalam keadaan harmoni hingga ke hari ini.
“Sikap toleransi dan semangat perpaduan inilah yang menjadi kunci utama kepada keharmonian tersebut,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Cina di daerah Song.-Edisi UKAS