KUCHING: Seramai 45 golongan asnaf menerima sumbangan sempena Aidilfitri menerusi Program Jelajah Ramadan dan Ihsan Ramadan yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki, di sini pada Ahad.
Sumbangan berkenaan melibatkan 15 penerima dari Ranting Bintangor, 15 dari Ranting Muda Hashim A dan 15 lagi dari Ranting Muda Hashim B.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, inisiatif tersebut bertujuan membantu meringankan beban kewangan golongan memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Syawal serta menampung keperluan harian sepanjang Ramadan.
“Program seperti ini diharap dapat memberi sedikit kelegaan kepada penerima agar mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna bersama keluarga,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Selain bantuan kepada individu, beliau turut menyampaikan sumbangan khas kepada pihak masjid bagi menyokong penganjuran pelbagai aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan.
Dana yang disalurkan akan dimanfaatkan untuk pelaksanaan program berbuka puasa, tadarus al-Quran dan solat sunat Tarawih, sekali gus mengimarahkan institusi masjid sebagai pusat kegiatan komuniti setempat.
Dalam majlis sama, rehal al-Quran turut diserahkan bagi kemudahan jemaah membaca dan bertadarus sepanjang bulan yang mulia ini.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abdul Samat Gany; Pengerusi Masjid Al-Hakim, Ahmad Johar Mentali serta tetamu kehormat lain. - EDISI UKAS