Kemudahan Semakin Baik, Pacu Ekonomi Komuniti Kabong
KABONG: Peningkatan kemudahan asas serta infrastruktur setempat terus menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi komuniti di Kabong, sekali gus memberi manfaat langsung kepada penduduk, khususnya golongan peniaga kecil.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, kemudahan di Pusat Penjaja Kabong kini semakin baik dari semasa ke semasa, selain bekalan air yang semakin stabil terutama ketika musim perayaan.
Menurut beliau, perkembangan positif itu bukan sahaja meningkatkan keselesaan penduduk, malah membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk menjana pendapatan melalui aktiviti perniagaan.
“Pusat penjaja seperti ini memberi ruang kepada masyarakat untuk berniaga dan menambah sumber pendapatan, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berambeh Berami Aidilfitri 2026 yang berlangsung di Pusat Penjaja Kabong, pada Sabtu yang turut menghimpunkan 19 reruai pelbagai juadah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa sektor nelayan dan pertanian kekal sebagai tunjang utama ekonomi di kawasan Kabong dan akan terus diperkasa oleh kerajaan menerusi pelbagai bantuan serta inisiatif.
Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa pembangunan yang dilaksanakan perlu disertai dengan semangat perpaduan dan kerjasama masyarakat agar kemajuan dapat dicapai secara menyeluruh.
Tambah Dato Mohd Chee, sambutan yang semakin menggalakkan setiap tahun terhadap program komuniti seperti ini membuktikan kesepaduan masyarakat yang kukuh di Kabong.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis tersebut serta memaklumkan kesediaan beliau untuk membantu menyerap sebahagian kos penganjuran sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti kemasyarakatan.
Dalam perkembangan sama, beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak yang dipimpin oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memastikan agenda pembangunan di kawasan Kabong dilaksanakan dengan berkesan demi manfaat rakyat.-EDISI UKAS