Guna kod QR Salurkan aduan terhadap peniaga bazar Ramadan
SIBU: Pengunjung Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Haji Bujang digesa menyalurkan sebarang aduan berkaitan kebersihan melalui sistem kod QR yang disediakan, sebagai langkah memastikan tahap kebersihan di bazar berkenaan sentiasa terpelihara.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata aduan yang diterima itu akan dirujuk terus kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Sekali lagi saya menegaskan bahawa aspek kebersihan amat penting. Kita menyediakan kod QR untuk aduan dan kita telah menerima beberapa aduan melalui saluran tersebut.
“Aduan berkenaan akan dirujuk kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut atau nasihat kepada peniaga supaya amalan penjualan makanan yang bersih sentiasa dipatuhi dan diberi perhatian serius,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa program Walkabout di Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Haji Bujang di sini, pada Sabtu.
Selain itu katanya, pihak KKM juga menyediakan kod QR di beberapa lokasi di tapak bazar.
Justeru, beliau menggalakkan semua pengunjung yang tidak berpuas hati supaya menggunakan kemudahan kod QR berkenaan untuk menyalurkan aduan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa sambutan bazar Ramadan di Sibu pada tahun ini amat memuaskan.
“Rata-rata peniaga menyatakan bahawa dari segi perniagaan, mereka berasa cukup berpuas hati. Saya bersyukur kerana ia sedikit sebanyak dapat memberikan pendapatan kepada mereka,” ujarnya.-EDISI UKAS