Komuniti Penanam Diseru Adaptasi Perubahan Global dan Cabaran Iklim
MIRI: Komuniti penanam di Bahagian Miri diseru supaya lebih bersedia menghadapi perubahan landskap global serta cabaran perubahan iklim dengan beralih kepada pendekatan pertanian moden dan mampan.
Seruan itu disampaikan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin ketika merasmikan Majlis Makan Tengah Hari Tahun Baharu Cina 2026 dan Istiadat Angkat Sumpah Jawatankuasa Baharu anjuran Persatuan Penanam Bahagian Miri Sarawak di Restoran Boulevard, di sini, pada Ahad.
Menurut beliau, sektor pertanian merupakan asas penting pembangunan Sarawak dan memainkan peranan strategik dalam menjamin keselamatan makanan serta kestabilan ekonomi negeri.
“Matlamat kita bukan sekadar meningkatkan pengeluaran, tetapi juga memperkukuh tahap sara diri (SSL) dan memastikan keselamatan makanan sentiasa terjamin. Ketidaktentuan rantaian bekalan global membuktikan bahawa kita mesti lebih berdikari dalam pengeluaran makanan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menjelaskan bahawa sektor pertanian kini berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan iklim, peningkatan permintaan makanan global serta persaingan pasaran antarabangsa yang semakin sengit.
Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan mentransformasikan sektor pertanian secara menyeluruh agar lebih moden, berdaya saing dan mampan.
Pendekatan tradisional berskala kecil, katanya, perlu beralih kepada model perusahaan moden berasaskan teknologi, pengurusan sistematik serta operasi berskala besar.
Dalam usaha memperkukuh sektor berkenaan, Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pembangunan industri padi, penubuhan taman pertanian, pelaksanaan Taman Teknologi Pertanian Sarawak (Sartech), pembangunan taman pertanian tepat serta taman akuakultur.
Selain itu, melalui model kerjasama awam–swasta–komuniti (PPCP), penyertaan sektor swasta digalakkan bagi membangunkan ekosistem pertanian yang lebih menyeluruh dan bersepadu.
Dari aspek rantaian bekalan pula, kerajaan membangunkan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan (CPPC) serta infrastruktur jeti pertanian bagi meningkatkan kecekapan logistik dan nilai tambah produk pertanian.
Beliau turut menegaskan bahawa transformasi pertanian memerlukan penglibatan golongan muda yang celik teknologi dan berkemahiran dalam bidang data, automasi, pemasaran digital serta pengurusan moden.
Penggunaan dron, sistem pengairan automatik, analisis data dan platform e-dagang merupakan antara elemen penting dalam pelaksanaan pertanian pintar masa kini.
Turut hadir ADUN Pujut merangkap Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, Pengerusi Persatuan Penanam Bahagian Miri, Chin Vui Min serta Pegawai Pertanian Bahagian Miri, Chong Mui Sia.-EDISI UKAS