ADUN Nangka Agih 600 Bekas Bubur Lambuk, Semarakkan Ramadan di Kemuyang
SIBU: Semangat kebersamaan dan gotong-royong jelas terpancar apabila kira-kira 80 penduduk berganding bahu menyediakan juadah bubur lambuk sempena Ramadan dalam Program Agihan Bubur Lambuk anjuran Pusat Khidmat ADUN N.55 Nangka bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Desa Kemuyang di Surau Darul Ukhuwah, Kemuyang, pada Ahad.
Program tersebut bukan sahaja menyemarakkan penghayatan Ramadan, malah menjadi wadah memperkukuh silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat apabila proses memasak dilakukan secara bergotong-royong sebelum diagihkan kepada penduduk sekitar Taman Desa Kemuyang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee turut meluangkan masa menyertai aktiviti memasak bersama penduduk dan beramah mesra dengan komuniti setempat.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Sayed Azmi Syed Junaidi, Penghulu Abdul Razak serta Pengerusi Surau Darul Ukhuwah Desa Kemuyang, Yusup Wasli.
Sebanyak 600 bekas bubur lambuk berjaya diagihkan kepada orang ramai dengan bantuan ahli Pergerakan Pemuda PBB Ranting Kemuyang yang bertugas menguruskan agihan di laluan masuk ke Taman Desa Kemuyang bagi memastikan proses pengedaran berjalan lancar.
Dalam lawatan tersebut, Datuk Dr Annuar turut meninjau pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di surau berkenaan yang melibatkan pembinaan pagar serta pemasangan sengkuap dengan kos keseluruhan berjumlah RM200,000.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan dan berharap semangat kerjasama serta perpaduan yang dipamerkan akan terus diperkukuh, sekali gus menyemarakkan lagi suasana Ramadan dalam komuniti setempat.-EDISI UKAS