Agihan Baitulmal, Iftar Satukan Komuniti Pelbagai Kaum di Song
KAPIT: Keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Song terus terserlah apabila kira-kira 80 penduduk terdiri daripada kaum Melayu, Iban dan Cina berhimpun dalam Majlis Pengagihan Bubur Lambuk dan Berbuka Puasa di pekarangan Masjid Nurul Islam, Kampung Gelam, pada Ahad.
Program yang bermula seawal jam 6 petang itu bukan sekadar acara berbuka puasa, malah menjadi simbol kebersamaan dan perpaduan utuh yang telah lama berakar dalam kehidupan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan menyempurnakan penyerahan bantuan bakul makanan daripada Tabung Baitulmal Majlis Islam Sarawak kepada 35 penerima yang layak sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan memerlukan.
Turut hadir Pegawai Daerah Song, Harry Bruce Edwin, Pengerusi Saberkas Cawangan Katibas, Paw Bedimbap, Pegawai Perpaduan Bahagian Kapit, Lau Siew Yean, Ketua Polis Daerah Song, DSP Bernedict Faris Jimoy, Penghulu Abu Bakar Safiee; Penghulu John Khoo serta Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Nurul Islam Song, Sulaiman Boharie.
Dalam ucapannya, Lidam merakamkan penghargaan atas komitmen masyarakat berbilang kaum yang terus mendokong tradisi kebersamaan, sekali gus membuktikan bahawa nilai perpaduan dan toleransi kekal kukuh di Song.
Beliau menegaskan bahawa arus kemajuan dan perkembangan teknologi tidak seharusnya menghakis nilai murni, budaya serta adat resam yang menjadi teras keharmonian masyarakat di daerah itu.
Program tersebut merupakan hasil kerjasama Saberkas Cawangan Katibas, Jawatankuasa Pengurusan Masjid Nurul Islam Song, LAKIS Song, BKI IPD Song, KRT Kampung Gelam, KRT Kebiau serta JKKK Kampung Gelam Song dalam memastikan Ramadan terus disemarakkan dengan semangat perpaduan dan kasih sayang sesama insan.-EDISI UKAS