ADUN Beting Maro Santuni Penduduk, Hulur Bantuan Sempena Ramadan
BATANG LUPAR: Program Ihya Ramadan 2026 diteruskan di Kampung Batang Maro menerusi Lawatan Ziarah Kasih Ramadan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor.
Program pada Ahad itu juga menyaksikan beliau melawat dua warga emas di kampung berkenaan serta menyampaikan sumbangan berbentuk bakul makanan bagi meringankan beban penerima sempena bulan Ramadan.
Turut hadir Pemanca Daerah Pusa, Rosli Uji, Penghulu Zon Beladin, Zakaria Mos, Ketua Kampung Tengah Beladin, Naali Aie, Ketua Kampung Batang Maro, Alen Aran, Ketua Kampung Hilir Beladin, Awang Subhi Awang Halil serta Penghulu Kampung Spinang, Semarang dan Batang Maro, Musa Zin.
Selain ziarah kebajikan, Dato Razaili turut berbuka puasa bersama penduduk serta menunaikan solat Tarawih di Masjid Nasli Al Iman, Kampung Batang Maro dalam suasana penuh ukhuwah.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa program seumpama ini menjadi platform menyatukan masyarakat, mengeratkan silaturahim serta memperkukuh ukhuwah agar komuniti terus kekal harmoni dan tidak berpecah belah.
Dalam program tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid (JKP), imam serta peserta tadarus al-Quran di Masjid Nasli Al Iman sebagai sokongan terhadap aktiviti keagamaan yang dijalankan sepanjang Ramadan.-EDISI UKAS