SABERKAS Prihatin Agih Bakul Makanan, 95 Penduduk DUN Lingga Terima Manfaat
LINGGA: Seramai 95 penduduk memerlukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga menerima bantuan menerusi Program Agihan Bakul Makanan SABERKAS Prihatin yang berlangsung pada Ahad, sekali gus meringankan beban golongan sasar melalui penyaluran bantuan secara terus ke beberapa lokasi komuniti.
Program anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, yang turun padang menyampaikan sendiri sumbangan kepada penerima di sekitar Lingga dan kawasan berhampiran.
Agihan bermula seawal jam 9 pagi di Masjid Al Hana Lingga melibatkan 30 penerima kemudiannya diteruskan di Masjid Nur Hijrah Seduku melibatkan lima penerima, Masjid Salatul Rahman Stumbin melibatkan 10 penerima serta Masjid Tanjung Bijat dengan sumbangan tambahan 30 karton air mineral.
Selepas selesai di kawasan Lingga–Seduku–Stumbin–Bijat, rombongan meneruskan pengagihan ke Skait melibatkan lima penerima, diikuti Surau Wahdah Al Ummah Kampung Tanah Baru Sembau kepada lima penerima dan Surau Kebahagian Kampung Hilir yang melibatkan 20 penerima.
Lokasi terakhir ialah di Surau Hayatul Islam Kampung Hulu dengan 20 penerima lagi, menjadikan keseluruhan seramai 95 individu menerima bantuan dalam program berkenaan.
Inisiatif kebajikan seperti ini diharapkan dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi membantu meringankan kos sara hidup golongan memerlukan serta memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti setempat. -EDISI UKAS