Kerajaan Sarawak & Persekutuan Perkukuh Sinergi Kebajikan Sosial
PUTRAJAYA: Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan agenda penyampaian perkhidmatan kebajikan dan kesejahteraan sosial menerusi pendekatan kerjasama strategik bersama Kerajaan Persekutuan dalam usaha memastikan bantuan kepada rakyat dilaksanakan secara lebih terselaras dan efektif.
Sehubungan itu, delegasi Kerajaan Sarawak yang diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Dr Maziah Che Yusoff, di sini pada Isnin sebagai langkah memperkukuh hubungan institusi antara kedua-dua pihak.
Kunjungan tersebut menjadi platform penting bagi membincangkan usaha mempererat sinergi antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dan KPWKM, khususnya dalam mempertingkat keberkesanan penyampaian perkhidmatan kebajikan kepada kumpulan sasar di seluruh negeri.
Dalam perbincangan itu, kedua-dua pihak turut meneliti aspek penyelarasan dasar, pemantapan tadbir urus serta pengurusan sumber manusia, termasuk perkongsian amalan terbaik dalam pelaksanaan program kebajikan di peringkat negeri dan Persekutuan, agar bantuan yang disalurkan lebih komprehensif, inklusif serta menepati keperluan semasa rakyat.
Melalui kerangka kerjasama yang lebih tersusun ini, komitmen bersama dizahirkan bagi memastikan agenda pembangunan sosial dapat dilaksanakan secara lebih efektif dan mampan, selaras dengan aspirasi kesejahteraan rakyat di peringkat negeri dan nasional.
Turut hadir mewakili delegasi Sarawak ialah Pengarah JKM Sarawak Semawi Mohamad dan Ketua Bahagian Kesejahteraan Sosial Nurin Chunggat.
Manakala mewakili KPWKM ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Datin Safida Zalma Mohd Piah dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Ungku Mariam. -EDISI UKAS