PKMM Sarawak Hargai Kerajaan Negeri Sumbang Jentera, Mesin Bagi Kontraktor Tempatan
KUCHING: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Negeri Sarawak menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas sumbangan jentera dan mesin bagi kegunaan kontraktor tempatan, khususnya dalam kalangan Bumiputera di negeri ini bagi meningkatkan keupayaan pelaksanaan projek pembinaan.
Yang Dipertuanya, Dato’ Ismail Suut berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam memperkasa kapasiti dan keupayaan kontraktor tempatan agar lebih berdaya saing.
“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas penganugerahan jentera dan mesin kepada persatuan untuk kegunaan ahli dalam menyiapkan projek pembinaan yang diperoleh.
“Kemudahan ini membolehkan ahli tidak terlalu bergantung kepada penyewaan daripada pihak luar, selain meningkatkan kecekapan dan kualiti pelaksanaan projek,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi di sini pada Isnin.
Dato’ Ismail yang juga Naib Presiden PKMM Malaysia menambah, kunjungan hormat tersebut bukan sahaja bertujuan menyampaikan penghargaan kepada Datuk Patinggi Abang Zohari, malah memperkukuh hubungan strategik antara persatuan dan kerajaan negeri di samping membincangkan hala tuju industri pembinaan di Sarawak.
Selain itu, katanya, perbincangan turut menyentuh cadangan pembinaan bangunan baharu persatuan di Jalan Sultan Tengah yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat, tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri.
Turur hadir semasa kunjungan hormat berkenaan ialah Penasihat PKMM Sarawak Dato Dr. Zaiedi Suhaili, Pengerusi Construction Research Institute of Malaysia (CREAM) Dato Ir Alhadi Ibrahim, Pengurus Besar Kanan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia Suhaimi Mansor, Pengarah CIDB Negeri Sarawak Ts. Br. Rosmen AG Hassan serta Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sarawak Abdul Rahman Ahmad.-EDISI UKAS