KUCHING: Peralihan kepimpinan Mufti Sarawak menjadi lambang kesinambungan institusi kefatwaan negeri yang terus dipandu hikmah, ilmu serta tanggungjawab dalam memelihara kepentingan agama dan kesejahteraan masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, peralihan tersebut bukan sekadar pertukaran jawatan, sebaliknya mencerminkan kekuatan serta kematangan institusi agama yang kekal utuh dan berwibawa.
Menurut beliau, sepanjang tempoh perkhidmatan Datu Kipli Yassin sebagai Mufti Sarawak, institusi kefatwaan negeri diperkukuh sebagai badan yang dihormati dan diyakini masyarakat, khususnya umat Islam di Sarawak.
“Peranan seorang mufti bukan sekadar mengeluarkan fatwa, tetapi menjadi rujukan umat, penunjuk arah kefahaman agama serta suara hikmah dalam memastikan keseimbangan antara tuntutan syariah dan realiti masyarakat yang sentiasa berkembang,” katanya ketika berucap semasa Majlis Penyerahan Tugas Mufti Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak pada Isnin.
Beliau menambah, sumbangan Datu Kipli bukan sahaja terserlah dalam aspek pengeluaran hukum dan pandangan syarak, malah turut memperkukuh pendekatan kesederhanaan Islam, memelihara keharmonian masyarakat majmuk serta menyumbang kepada pembangunan umat berteraskan ilmu dan kebijaksanaan.
“Segala pengorbanan, kebijaksanaan dan panduan yang telah dicurahkan pastinya menjadi legasi berharga kepada institusi dan agensi Islam di Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan selamat menjalankan amanah kepada Datu Khalidi Ibrahim atas pelantikan sebagai Mufti Sarawak yang baharu.
Menurutnya, amanah tersebut menuntut kebijaksanaan, ketegasan berteraskan ilmu serta keupayaan memimpin masyarakat dalam mendepani cabaran semasa yang semakin kompleks.
“Saya yakin dengan pengalaman, keilmuan serta kewibawaan yang dimiliki, beliau mampu meneruskan kecemerlangan institusi kefatwaan Sarawak ke tahap lebih gemilang pada masa akan datang,” katanya.-EDISI UKAS