30 Ketua Kaum Terima Sijil Pelantikan Perkukuh Pembangunan Bau
BAU: Seramai 30 penerima menerima sijil pelantikan sama ada sebagai lantikan baharu mahupun lantikan semula dalam Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan dan Sijil Penghargaan Ketua Kaum Daerah Bau yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undanhan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh di sini pada Isnin.
Selain sijil pelantikan, satu sijil penghargaan serta empat sijil pengiktirafan bumiputera turut disampaikan sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan peranan dalam memperkukuh kepimpinan komuniti setempat.
Dalam ucapannya, Dato Miro menegaskan bahawa Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat memainkan peranan penting sebagai tonggak pembangunan di peringkat akar umbi serta penghubung utama antara kerajaan dan rakyat.
Menurut beliau, mesyuarat tahunan yang diadakan menjadi platform penting bagi memastikan semua Ketua Kaum sentiasa selari dengan maklumat serta isu-isu semasa.
“Penyelarasan ini penting supaya kita dapat bergerak seiring dan memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara bersama demi kemajuan Daerah Bau,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa tanggungjawab sebagai Ketua Kaum bukanlah satu tugas mudah, sebaliknya memerlukan komitmen tinggi dalam memastikan setiap amanah dilaksanakan secara berkesan.
Tambahnya, pelbagai pembangunan telah dan sedang dirancang di kawasan berkenaan, bukan sahaja melibatkan pembangunan fizikal seperti infrastruktur dan kemudahan asas, malah turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan.
“Usaha ini adalah hasil kerjasama antara saya bersama ADUN-ADUN lain serta Ketua Kaum bagi mewujudkan persekitaran kampung yang lebih selesa, harmoni dan berdaya saing,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan semua agensi di Daerah Bau agar sentiasa bersiap siaga dan bertindak secara proaktif dalam menyalurkan maklum balas serta mengambil tindakan pantas terhadap setiap isu yang dibangkitkan oleh Ketua Kaum.
Katanya, kerjasama yang cekap dan responsif amat penting bagi memastikan setiap permasalahan rakyat dapat ditangani segera demi kesejahteraan masyarakat setempat.-EDISI UKAS