Sri Aman Tuan Rumah Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak 2026
SRI AMAN: Bahagian Sri Aman dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak 1447H/2026 yang dijadual berlangsung pada 6 Mac ini di Masjid Besar Sri Aman.
Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Sahibus Siyadah Ustaz Mu’albin So’ud berkata, penganjuran program tahunan itu bertujuan mengajak umat Islam kembali menghayati Al-Quran sebagai panduan hidup serta asas pembentukan masyarakat berilmu dan berakhlak.
Menurut beliau, peristiwa Nuzul Al-Quran yang memperingati turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW membawa mesej besar agar umat Islam bermuhasabah dan menjadikan kitab suci itu sebagai rujukan utama dalam setiap aspek kehidupan.
“Tujuan kita ialah untuk sama-sama kita bermuhasabah, kembali kepada Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan kita, mudah-mudahan kehidupan kita diberkati oleh Allah SWT," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS, pada Isnin.
Majlis berkenaan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan barisan kepimpinan negeri juga dijangka hadir.
Sementara itu, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata, pemilihan Sri Aman sebagai tuan rumah mencerminkan keunikan perpaduan masyarakat berbilang kaum di bahagian itu yang hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.
“Selama saya berada di Sri Aman, kita dapat lihat satu persefahaman dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Bahagian Sri Aman,” ujarnya.
Beliau berkata, penganjuran program berskala negeri seperti ini bukan sahaja memperkukuh ukhuwah, malah memberi limpahan manfaat kepada ekonomi setempat khususnya peniaga dan usahawan kecil.
Sambutan kali ini membawa tema “Ummah Maju Makmur, Insan Berilmu Menjulang Kelestarian Alam” yang menekankan kepentingan pembangunan seimbang antara kemajuan fizikal, kekuatan ilmu serta tanggungjawab memelihara alam sekitar.
Sebagai nilai tambah, Sri Aman juga baru sahaja merasmikan Kompleks Islam Sri Aman yang terletak berhadapan lokasi penganjuran, sekali gus menjadi simbol perkembangan institusi Islam di kawasan tersebut.
Antara pengisian program ialah Seminar Al-Quran dan Ziarah Ramadan yang melibatkan penyampaian sumbangan kepada asnaf dan kanak-kanak pada 5 Mac serta Forum Perdana Al-Islam pada 6 Mac.
Sambutan ini diharap dapat terus menyemarakkan kecintaan terhadap Al-Quran serta memperkukuh perpaduan masyarakat selaras dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur. -EDISI UKAS