MWC 2026: Sarawak Teroka Kerjasama 5G-Advanced & AI Bersama ZTE
BARCELONA: Sarawak terus memperkukuh langkah strategik dalam mempercepat transformasi digital negeri apabila mengadakan pertemuan rasmi bersama syarikat teknologi global, ZTE bersempena Mobile World Congress 2026 (MWC 2026) pada Isnin waktu tempatan.
Pertemuan yang diketuai Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang itu memberi tumpuan kepada potensi kerjasama dalam pelaksanaan 5G-Advanced, rangkaian dipacu kecerdasan buatan (AI), pembangunan bandar pintar serta pengukuhan infrastruktur digital negeri.
Menurut beliau, Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak komited untuk muncul sebagai ekonomi digital maju dan hab inovasi serantau menjelang 2030 menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Kerjasama strategik dengan pemain teknologi global seperti ZTE amat penting bagi memastikan Sarawak memiliki infrastruktur rangkaian yang berdaya tahan, inklusif dan bersedia menghadapi keperluan ekonomi digital masa hadapan,” katanya.
Dalam sesi tersebut, delegasi Sarawak meneliti kepakaran ZTE dalam membangunkan rangkaian berskala besar serta platform pintar yang menyokong peluasan jalur lebar, kesalinghubungan pintar dan pembangunan mampan.
Pertemuan itu dilihat sebagai satu lagi langkah signifikan dalam memastikan Sarawak terus berada di barisan hadapan transformasi digital serantau dengan membina jaringan kolaborasi global yang kukuh dan berimpak tinggi.
Hadir dalam sesi libat urus tersebut ialah Naib Presiden dan Pengurus Besar Rangkaian Pembawa (Bearer Network Product Line) ZTE, Li Qiang, Pengarah Akaun Kerajaan & Perusahaan ZTE Malaysia, Benny Li, Pengerusi Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ahli Lembaga SDEC, Dato Ir Janang Bungsu, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Syed Mohamad Fauzi Shahab, Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority, Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir Ts Sudarnoto Osman, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil serta pegawai kanan daripada pelbagai jabatan dan agensi di Sarawak. –EDISI UKAS