Sarawak Perkukuh Kerjasama Digital Global Di MWC 2026
BARCELONA: Sarawak terus memperkukuh jaringan kerjasama digital di peringkat antarabangsa apabila mengadakan pertemuan strategik bersama Ericsson sempena Mobile World Congress 2026 (MWC 2026) di Fira Gran Via, Barcelona pada Isnin waktu tempatan.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang berkata, sesi libat urus tersebut membuka ruang penting untuk meneroka potensi kolaborasi dalam bidang telekomunikasi, infrastruktur digital pintar serta pemindahan teknologi selaras dengan aspirasi transformasi digital negeri.
Menurut beliau, penyertaan Sarawak dalam forum teknologi bertaraf dunia itu membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan Sarawak tidak ketinggalan dalam arus revolusi digital global.
Pertemuan itu memberi peluang kepada delegasi Sarawak untuk memahami amalan terbaik global dalam pembangunan rangkaian pintar, teknologi 5G dan seterusnya, serta penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan 'cloud'.
Datuk Liwan menegaskan bahawa di bawah kepimpinan Premier Sarawak, negeri ini telah merangka hala tuju jelas untuk muncul sebagai ekonomi digital maju dan hab inovasi serantau menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Beliau berkata, agenda tersebut merangkumi peluasan liputan sambungan berkualiti tinggi dan berdaya tahan, pelaksanaan sistem utiliti pintar, penerapan teknologi AI dan penyelesaian berasaskan data, serta pembangunan bakat digital masa hadapan.
Dalam konteks itu, Ericsson yang merupakan peneraju global dalam teknologi komunikasi maklumat dikenal pasti sebagai rakan strategik berpotensi, khususnya dalam pembangunan rangkaian 5G, automasi rangkaian, 'cloud-native core' dan infrastruktur pintar yang mampan.
“Kerjasama strategik seperti ini amat penting bagi memastikan ekosistem digital Sarawak berkembang secara menyeluruh, inklusif dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Tambah beliau, inovasi dalam automasi rangkaian dan infrastruktur pintar mampu menyokong pembangunan sektor industri baharu termasuk pertanian pintar, pengangkutan terhubung dan kilang pintar, sekali gus memperkukuh daya tahan ekonomi negeri.
Beliau turut menyatakan harapan agar perbincangan tersebut menjadi asas kukuh kepada jalinan kerjasama jangka panjang yang memberi manfaat nyata kepada rakyat Sarawak, khususnya dalam memastikan akses digital yang lebih inklusif serta perkhidmatan utiliti yang lebih cekap dan mampan.
Pertemuan tersebut mencerminkan kesungguhan Sarawak untuk terus berada di barisan hadapan transformasi digital serantau dengan membina jaringan kerjasama global yang strategik dan berimpak tinggi.
Hadir dalam sesi libat urus tersebut ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagebro, Pengerusi Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ahli Lembaga SDEC, Dato Ir Janang Bungsu, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Syed Mohamad Fauzi Shahab, Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority, Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir Ts Sudarnoto Osman, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil serta pegawai kanan daripada pelbagai jabatan dan agensi di Sarawak. –EDISI UKAS