KUCHING: Jawatankuasa Khas Kabinet (CABCOM) merekodkan pencapaian penuh 100 peratus penyerahan melibatkan 81 Penyata Kewangan dan Anggaran Belanjawan daripada 52 agensi negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tahun 2025, sekali gus mencerminkan peningkatan signifikan tahap pematuhan serta komitmen terhadap tadbir urus kewangan berintegriti di Sarawak.
Perkara itu dimaklumkan dalam sesi kunjungan hormat Jawatankuasa Khas Kabinet (CABCOM) yang diketuai oleh diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Isnin.
Menurut kenyataan media, 2025 merupakan tahun ketiga pelaksanaan jawatankuasa itu sejak ditubuhkan pada 1 Januari 2023, dengan peningkatan ketara direkodkan dari segi serahan laporan
Kenyataan berkenaan menjelaskan, pembentangan laporan memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus kewangan melibatkan semua agensi terbabit, dengan penekanan terhadap kepentingan perbelanjaan dilaksanakan mengikut perancangan strategik serta anggaran yang telah diluluskan bagi menyokong pengurusan kewangan terancang dan berhemah.
Dalam pada itu, CABCOM mendedahkan, lima agensi Badan Berkanun Negeri melalui Sijil Ketua Audit Negara telah mencatat Pendapat Berteguran dalam Laporan Penyata Kewangan 2024.
Isu utama yang dibangkitkan merangkumi ketidakpatuhan terhadap piawaian Malaysian Private Entities Reporting Standard (MPERS), termasuk aspek pengiktirafan hasil, aset, liabiliti serta pendedahan maklumat kewangan, kata kenyaaan itu.
Sehubungan itu, CABCOM menegaskan, agensi terlibat digesa untuk memperkukuh tadbir urus kewangan masing-masing serta memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap piawaian yang ditetapkan.
Turut hadir semasa kunjungan hormat tersebut ialah Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak Wan Mohamad Wan Drahman, Pengarah Unit Audit Dalam Jeferi Darhman, Pengarah Unit Pentadbiran Rusmaliza Mat Darus, Akauntan Negeri Sarawak Datu Elean Masa’at, Peguam Kanan Negeri Hisyamudin Roslan, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) Desmond Douglas Jerukan serta Pengarah Bahagian Pematuhan Kewangan dan Pengurusan Aset, Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Saniah Abdul Kadir.-EDISI UKAS