MWC 2026: Sarawak Perkukuh Kerjasama Strategik Bersama Huawei Demi Manfaat Rakyat
BARCELONA: Sarawak terus memperluas jaringan kerjasama global apabila mengadakan pertemuan strategik bersama Huawei iaitu sebuah syarikat teknologi terkemuka dunia sempena Mobile World Congress 2026 (MWC 2026).
Inisiatif ini merupakan usaha memperkukuh infrastruktur digital dan utiliti pintar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat negeri ini.
Pertemuan yang dipimpin Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang itu memberi tumpuan kepada peluasan sambungan digital berkualiti tinggi, sistem utiliti pintar yang mampan serta penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan penyelesaian berasaskan data.
Menurut beliau, langkah memperkukuh kerjasama antarabangsa adalah sejajar dengan aspirasi Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk muncul sebagai ekonomi digital maju dan hab inovasi serantau.
“Kerjasama strategik seperti ini penting bagi memastikan transformasi digital Sarawak bukan sahaja bersifat dasar, tetapi benar-benar diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat melalui capaian internet lebih stabil, sistem utiliti lebih cekap dan peluang ekonomi baharu,” katanya semasa sesi libat urus tersebut pada Isnin waktu tempatan.
Beliau menambah, Huawei yang diiktiraf sebagai peneraju global dalam teknologi maklumat dan komunikasi mempunyai kepakaran luas dalam pembangunan rangkaian telekomunikasi berskala besar, platform digital pintar serta penyelesaian tenaga digital mampan.
"Pengalaman Huawei dalam pelaksanaan rangkaian berskala besar dan platform pintar di pelbagai pasaran antarabangsa dilihat relevan bagi memperkukuh ekosistem digital dan utiliti Sarawak," katanya lagi.
Sementara itu, beliau berharap perbincangan tersebut membuka ruang kepada kerjasama dalam bidang telekomunikasi, utiliti pintar, platform digital serta pembangunan kapasiti, sekali gus mewujudkan asas kukuh bagi inovasi dan pemindahan pengetahuan jangka panjang yang memberi manfaat nyata kepada Sarawak.
"Kami berbesar hati dapat mengadakan sesi libat urus bersama Huawei sempena MWC 2026, dengan mengiktiraf syarikat tersebut sebagai peneraju global dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi yang mempunyai pengalaman luas dalam infrastruktur telekomunikasi, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan serta penyelesaian kuasa digital.
"Rekod pencapaian Huawei yang terbukti dalam melaksanakan rangkaian berskala besar dan platform pintar merentasi pelbagai pasaran antarabangsa memberikan pandangan serta rujukan bernilai kepada Sarawak dalam usaha memperkukuh ekosistem digital dan utiliti negeri ini," jelasnya lagi.
Hadir dalam sesi itu ialah delegasi Huawei yang diketuai Chao Xie, Naib Presiden, Jabatan Hal Ehwal Kerajaan Global, Yanqing Lin, Perunding Utama, Jabatan Hal Ehwal Kerajaan Global, Fei Xu, Presiden Pasaran Luar Negara, Unit Pendigitalan Perkhidmatan Awam Global Huawei, Yidong Wang, Pengarah Jabatan Pemasaran dan Penyelesaian ICT APAC (Perusahaan), Simon Sun, Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Perwakilan Malaysia, Xianjun Du, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Perwakilan Malaysia dan Wei Wan, Naib Presiden Jabatan Perniagaan Malaysia Timur.
Turut hadir bersama ialah Pengerusi Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ahli Lembaga SDEC, Dato Ir Janang Bungsu, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Syed Mohamad Fauzi Shahab, Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority, Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir Ts Sudarnoto Osman, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil serta pegawai kanan daripada pelbagai jabatan dan agensi di Sarawak. -EDISI UKAS