PIBG SK Tambirat Semarakkan Ramadan Melalui Program Rewang Bubur Lambuk
ASAJAYA: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tambirat tidak ketinggalan menyemarakkan sambutan Ramadan dengan menganjurkan program memasak bubur lambuk secara bergotong-royong di Dataran Berbumbung SK Tambirat.
Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengahari tadi diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara warga sekolah dan komuniti Kampung Tambirat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya.
Ahli jawatankuasa PIBG bersama guru-guru serta sukarelawan dalam kalangan penduduk kampung berganding bahu menyediakan bahan masakan secara tradisional sejak dari pagi.
Beberapa kawah bubur lambuk dimasak secara berperingkat sebelum diagihkan kepada kakitangan sekolah dan para pelajar sebagai juadah berbuka puasa.
Menurut penganjur, aktiviti rewang tersebut bukan sahaja menghidupkan tradisi gotong-royong, malah memperkukuh semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.
Hadir sama memeriahkan program ialah Penolong Kanan Pentadbiran SK Tambirat, Abdul Razak Klantong, Yang Dipertua PIBG SK Tambirat, Nasrol Jolhan serta Guru Panitia Pendidikan Islam, Sejali Unus.
Program diakhiri dengan majlis simbolik penyerahan pek bubur lambuk kepada wakil warga sekolah yang disempurnakan oleh tetamu kehormat sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif kebajikan dan kemasyarakatan anjuran PIBG.
Penganjuran program tahunan ini mencerminkan komitmen pihak sekolah dan PIBG dalam mewujudkan persekitaran pendidikan yang harmoni, di samping memupuk budaya berkongsi rezeki serta nilai kebersamaan dalam bulan Ramadan.-EDISI UKAS