Projek Rakyat Tangani Kesesakan Lalu Lintas Sekolah Di Miri
MIRI: Isu kesesakan lalu lintas yang sekian lama membelenggu warga Sekolah Kebangsaan Senadin dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pujut bakal berakhir tidak lama lagi sebaik Projek Rakyat bernilai RM1.8 juta yang dilaksanakan di bawah inisiatif Kerajaan Sarawak bagi DUN N.75 Senadin siap nanti.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan kawasan letak kereta baharu termasuk jalan akses serta simpang masuk bagi melancarkan aliran trafik khususnya pada waktu puncak persekolahan.
“Projek ini merupakan inisiatif Projek Rakyat 2024 dengan tempoh pelaksanaan selama 12 bulan bermula 24 Februari 2025 hingga 23 Februari 2026.
“Ia dilaksanakan bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas yang telah lama menimbulkan rungutan dalam kalangan ibu bapa dan penduduk setempat,” katanya semasa mengadakan lawatan tapak bagi meninjau pelaksanaan dan penyiapan projek berkenaan pada Selasa.
Di SK Senadin, sebanyak 108 petak letak kereta baharu telah dibina bersama satu laluan keluar tambahan bagi mengurangkan kesesakan di simpang utama sekolah.
Manakala di SMK Pujut, sebanyak 174 petak letak kereta baharu turut disediakan bagi menampung keperluan semasa, terutamanya pada waktu puncak penghantaran dan pengambilan pelajar.
Menurut beliau lagi, dengan adanya tambahan kemudahan tersebut, aliran trafik dijangka menjadi lebih lancar dan teratur sekali gus meningkatkan tahap keselamatan di kawasan sekolah.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dalam memastikan sistem pengurusan lalu lintas dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Selain itu, beliau turut mencadangkan penambahan papan tanda keselamatan, garisan jalan yang lebih jelas serta pembinaan lintasan pejalan kaki (zebra crossing) bagi menjamin keselamatan murid dan pelajar.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pengetua SMK Pujut, Ha Pick Yieng serta Guru Besar SK Senadin, Ahmad Othman.-EDISI UKAS