Projek MyKhas 2025 Tingkat Akses Luar Bandar, Jalan Masuk Rh Paran Siap Dinaik Taraf
SELANGAU: Usaha memperkasa infrastruktur luar bandar terus diperkukuh apabila projek naik taraf jalan masuk ke Rumah Panjang Paran Gerimang di bawah Program MyKhas 2025 berjaya disiapkan, sekali gus meningkatkan kemudahan asas penduduk di kawasan Sungai Mengeris, Nanga Tepus.
Projek sepanjang 228 meter dengan kelebaran empat meter itu telah diserahkan oleh Pusat Khidmat Parlimen Selangau bersama pegawai agensi pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia Bahagian Sibu dan Sarawak Development Office (SDO) Sibu dalam satu majlis ringkas di Rh Paran, Batu 66, Jalan Selangau/Bintulu, pada Selasa.
Penyerahan projek disempurnakan oleh Cr Binit Madang yang mewakili Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta.
Naik taraf jalan tersebut amat signifikan dalam memastikan akses keluar masuk penduduk rumah panjang lebih selamat dan selesa, khususnya ketika musim hujan yang sering menjejaskan keadaan jalan sebelum ini.
Penambahbaikan itu turut memudahkan pergerakan harian termasuk urusan persekolahan, kesihatan serta aktiviti ekonomi komuniti setempat.
Kerjasama erat antara Pusat Khidmat Parlimen Selangau, JKR dan SDO Sibu membolehkan projek dilaksanakan mengikut jadual serta mematuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan.
Inisiatif ini juga selaras dengan komitmen kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar melalui penyediaan infrastruktur asas yang berkualiti.
Dengan siapnya projek berkenaan, penduduk Rumah Panjang Paran Gerimang kini dapat menikmati kemudahan jalan yang lebih baik, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup serta kesejahteraan komuniti di kawasan tersebut.-EDISI UKAS