CCIA Pacu Institusi Ke Arah Tadbir Urus Iklim Berkesan
KUCHING: Komitmen terhadap agenda perubahan iklim tidak boleh sekadar bersandarkan sasaran dan aspirasi, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi pengukuhan institusi yang jelas mandatnya, mantap dari segi perundangan serta berupaya menyelaras pelaksanaan secara menyeluruh antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelancaran laporan Subnational Climate Change Institutional Assessment (CCIA) menandakan satu langkah penting dalam memperkemas tadbir urus tindakan iklim di peringkat subnasional.
Menurut beliau, laporan tersebut bukan sahaja mengenal pasti cabaran sedia ada, malah menggariskan pelan hala tuju reformasi yang tersusun dengan cadangan yang realistik dan boleh dilaksanakan dalam tempoh jangka pendek, sederhana serta panjang.
“Sasaran semata-mata tidak mencukupi. Tindakan iklim hanya berkesan apabila institusi mempunyai kuasa perundangan jelas, mampu menyelaras sektor, merancang pembiayaan dan memantau kemajuan secara telus,” katanya ketika berucap melancarkan laporan berkenaan di sini pada Selasa.
Beliau menegaskan, di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963, Sarawak mempunyai bidang kuasa signifikan dalam hal ehwal tanah, perhutanan, marin dan sumber asli yang menjadi komponen penting dalam agenda tindakan iklim.
Jelas beliau, struktur dan realiti institusi yang unik itu bukan suatu kekangan, sebaliknya satu kelebihan strategik sekiranya direka bentuk dan diselaraskan secara bersepadu.
“Sarawak kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan dan Sabah bagi memastikan tindakan iklim memberi manfaat kepada Malaysia secara keseluruhan,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi serta Ketua-ketua Jabatan. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: George Embie