Perubahan Iklim Ancaman Nyata Kepada Ekonomi, Fiskal Negara
KUCHING: Perubahan iklim bukan lagi isu abstrak, sebaliknya ancaman nyata yang memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi, kestabilan fiskal dan kesejahteraan sosial Malaysia.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, analisis terkini menunjukkan perubahan iklim membawa risiko material terhadap ekonomi negara.
“Banjir, tanah runtuh dan kejadian cuaca ekstrem sudah pun mengganggu komuniti, merosakkan infrastruktur dan meningkatkan tekanan terhadap kewangan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Subnational Climate Change Institutional Assessment (CCIA) di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata Sarawak dan Sabah yang memiliki kawasan hutan luas serta landskap tinggi karbon memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju tindakan iklim negara.
Menurutnya, kedudukan itu menjadikan tadbir urus tanah dan sumber asli di kedua-dua wilayah berkenaan faktor kritikal dalam memastikan pencapaian sasaran iklim Malaysia.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: George Embie