SARIKEI: Inisiatif mempertingkatkan mutu pendidikan di Sarikei terus diperkukuh menerusi penyediaan kemudahan pembelajaran berteraskan teknologi di sekolah luar bandar.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata usaha menyediakan bilik digital merupakan langkah proaktif dalam memastikan murid tidak tercicir dalam arus pendidikan moden.
Menurut beliau, pendedahan terhadap teknologi sejak peringkat awal mampu membentuk generasi celik digital yang lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.
”Kemudahan tersebut bukan sahaja menyokong proses pengajaran dan pembelajaran, malah membuka ruang kepada murid untuk meneroka bidang berasaskan teknologi dan inovasi,” katanya dalam Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina, Hari Terbuka Sekolah serta Perasmian Bilik Digital di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Su Tak di sini pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei memaklumkan pembinaan jalan penghubung Sungai Pasi–Tanjung Manis telah memberi manfaat besar kepada sekolah tersebut dari segi kemudahan akses dan potensi pertambahan jumlah murid.
Terdahulu, sebanyak RM20,000 sumbangan turut diserahkan kepada SJK Su Ming sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan di kawasan Sarikei. - EDISI UKAS