Yang di-Pertua Negeri Sarawak Serta Isteri Terima Kunjungan Hormat Duta Besar Itali Ke Malaysia
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Itali ke Malaysia Raffaele Langella di kediaman rasmi di Kasuma Resort, Petra Jaya pada Selasa.
Kunjungan yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu bertujuan memperkenalkan diri sempena pelantikan rasmi Raffaele Langella sebagai Duta Besar Itali ke Malaysia, selain memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik yang sedia terjalin antara Itali dan Sarawak.
Dalam pertemuan tersebut, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Raffaele Langella bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai bidang berkepentingan bersama, khususnya dalam sektor tenaga hijau, perdagangan, pendidikan tinggi serta pemuliharaan biodiversiti dan isu alam sekitar.
Duta Besar Itali turut menyatakan minat syarikat-syarikat industri utama negaranya untuk terus menjadi rakan strategik Sarawak, terutamanya dalam menyokong aspirasi Sarawak sebagai hab tenaga bersih di rantau Asia Tenggara.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi memaklumkan bahawa Sarawak mempunyai potensi besar dalam pengeluaran hidrogen hijau dan pembangunan tenaga boleh diperbaharui, sejajar dengan agenda pembangunan mampan negeri.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama dalam bidang kebudayaan dan pelancongan, termasuk usaha meningkatkan kehadiran pelancong Itali ke Sarawak, khususnya dalam segmen ekopelancongan dan warisan.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri berharap kolaborasi antara Sarawak dan Itali akan terus diperkukuh ke tahap yang lebih tinggi demi membuka lebih banyak peluang pembangunan dan manfaat bersama.
Turut hadir ialah Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Malaysia Sarawak Dato Fenny Nuli. -EDISI UKAS