SnS Network, Pay and Go Meterai MoU Laksana Sistem Parkir Pintar
KUCHING: SNS Network (M) Sdn Bhd dan Pay and Go Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi melaksanakan sistem parkir pintar bersepadu di Sarawak.
Majlis menandatangani MoU itu dirasmikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng.
Dalam ucapannya, beliau berkata pelaksanaan sistem tersebut selaras dengan usaha memperkukuh agenda transformasi digital dan pembangunan bandar pintar di Sarawak.
“Smart Parking bukan sekadar kemudahan, tetapi melibatkan peningkatan aliran trafik, pengurangan kesesakan, ketelusan serta pengurusan hasil pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif digital memerlukan kerjasama sektor awam dan swasta bagi memastikan sistem yang dibangunkan bersifat praktikal, berskala dan inklusif demi manfaat masyarakat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pay and Go Sdn Bhd, Eddie Wee berkata pemeteraian MoU tersebut menandakan permulaan pembangunan ekosistem mobiliti bandar yang lebih bersepadu di Sarawak.
Menurutnya, sistem parkir pintar yang diperkenalkan akan menggantikan kaedah manual kepada pembayaran digital yang disokong pemantauan masa nyata serta pelaporan hasil yang lebih telus kepada pihak berkuasa tempatan.
“Apabila sistem parkir didigitalkan, ia membantu meningkatkan kecekapan pengurusan trafik, memperkukuh akauntabiliti dan menyokong tadbir urus berasaskan data,” katanya.
Beliau berkata kerjasama strategik bersama SNS Network membolehkan pembangunan infrastruktur digital yang berskala, selamat dan mampan, dengan potensi peluasan ke Semenanjung Malaysia dan pasaran ASEAN.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif SNS Network (M) Sdn Bhd, Kelvin Pah berkata sebagai penyedia penyelesaian ICT, pihaknya akan memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur dan sokongan teknikal bagi memastikan pelaksanaan sistem berjalan lancar.
Beliau berkata kerjasama tersebut menggabungkan kekuatan infrastruktur SNS Network dengan keupayaan pembangunan perisian dan pembayaran digital Pay and Go bagi mewujudkan ekosistem yang bersedia untuk keperluan bandar pintar masa hadapan.
“Kerjasama ini bukan sekadar projek, tetapi asas kepada pembangunan inisiatif bandar pintar yang lebih menyeluruh termasuk perkhidmatan berasaskan IoT dan penyelesaian digital bersepadu,” katanya.
Menerusi kerjasama tersebut, SNS Network menyediakan infrastruktur perkakasan termasuk pelayan, peralatan rangkaian dan sokongan teknikal. Pay and Go pula membangunkan platform perisian, aplikasi mudah alih serta gerbang pembayaran digital.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengarah Eksekutif SNS Network (M) Sdn Bhd, Kelvin Pah, Pengerusi Pay and Go Solutions Sdn Bhd Ikhwan Zaidel, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Pay and Go Sdn Bhd Eddie Wee, Pengarah Perniagaan Perusahaan SNS Network (M) Sdn Bhd Simon Wong, Ketua Jualan dan Pembangunan Perniagaan (Malaysia Timur) SNS Network (M) Sdn Bhd, Alvin Sia, Ketua Pegawai Operasi Pay and Go Sdn Bhd Desmond Liew, serta Ketua Pegawai Teknologi Pay and Go Sdn Bhd Lo Wei Chin.
Kerjasama itu akan dilaksanakan secara berperingkat selaras dengan perancangan dan keperluan semasa.-EDISI UKAS