BINTULU: Dalam suasana penuh kebersamaan, seramai 246 asnaf di Bahagian Bintulu menerima manfaat bantuan kewangan berjumlah keseluruhan RM269,950 menerusi Program Kasih Ramadan anjuran Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Bahagian Bintulu.
Majlis Iftar Bersama Asnaf yang berlangsung di Dewan Muktamar, Kampung Jabai di sini pada Isnin menjadi platform memperkukuh agenda kebajikan ummah khususnya dalam menyantuni golongan memerlukan sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
Timbalan Pengurus Besar TBS, Iskandar Allan berkata, inisiatif berterusan itu mencerminkan komitmen TBS memastikan bantuan disalurkan secara tersusun dan menyeluruh kepada kumpulan sasar.
“Melalui Program Kasih Ramadan ini, kita bukan sahaja meraikan asnaf dalam suasana berbuka puasa bersama, malah menyampaikan bantuan kewangan secara terus bagi meringankan beban perbelanjaan mereka sepanjang Ramadan dan Aidilfitri,” katanya berucap pada majlis tersebut.
Pada majlis berkenaan, beliau turut menyempurnakan penyerahan bantuan berjumlah RM31,100 kepada 22 penerima sebagai simbolik agihan.
Secara keseluruhan, bantuan di bawah skim Bantuan Sara Hidup TBS itu memanfaatkan ketua keluarga serta tanggungan masing-masing di Bahagian Bintulu.
Agihan turut melibatkan Pusat Tahfiz dan para pelajar tahfiz sebagai usaha memperkasa institusi pendidikan Islam di negeri ini.
Bagi memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan Zakat Fitrah, TBS Bahagian Bintulu telah melantik 39 Amil Zakat Fitrah bertauliah yang ditempatkan di masjid, surau serta lokasi strategik sekitar bahagian ini.
Sehingga 31 Januari 2026, TBS telah mengagihkan sebanyak RM9.93 juta kepada golongan asnaf di seluruh Sarawak menerusi empat program utama iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah dan Program Peningkatan Kemahiran Ummah.
Hadir sama Ketua Bahagian TBS Bintulu, Zaini Ramli serta Ketua Kampung Jabai, Johnny Jimon.-EDISI UKAS