Program Pengagihan Bubur MASJA-SA Kongsi Rezeki Sepanjang Ramadan
KUCHING: Semangat berkongsi rezeki sempena Ramadan disemarakkan lagi menerusi Program Pengagihan Bubur MASJA-SA 2026 yang berlangsung dari 1 sehingga 10 Mac ini.
Menerusi program tersebut, sebanyak 3,200 pek bubur disediakan setiap hari sepanjang tempoh tersebut yang boleh didapati secara pandu lalu di Masjid Jamek Negeri Sarawak dan Masjid Bandaraya Kuching.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Setiausaha Kehormat Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS), Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Abdul Aziz Dato Husain menerusi simbolik ‘nguar bubur’ yang diadakan di perkarangan Masjid Jamek Negeri Sarawak pada Selasa.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohamad Feisal Said, wakil penaja serta pengurusan kanan LAKMNS.
Menurut kenyataan LAKMNS, penganjuran program ini bertujuan menggalakkan semangat kebersamaan dalam kalangan umat Islam di samping membantu masyarakat menyediakan juadah berbuka puasa.
Program ini juga berperanan memperkukuh fungsi masjid sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan, serta membuka peluang kepada pelbagai pihak termasuk sektor korporat untuk terlibat dalam inisiatif berasaskan komuniti.
Bagi menjayakannya, Liansin Sdn Bhd telah menaja sebanyak 500 kilogram beras, manakala Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) turut menyumbang 250 kilogram beras.
Persiapan dan penyediaan bubur melibatkan kerjasama kakitangan LAKMNS bersama sukarelawan daripada Kelab Belia MASJA-SA, Kolej Komuniti Kuching serta Hidayah Centre Foundation (HCF).
Dalam pada itu, LAKMNS turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama mengimarahkan program-program lain yang dianjurkan sepanjang Ramadan, termasuk Program Haflah al-Quran pada 6 dan 7 Mac ini serta Iktikaf 10 malam terakhir di kedua-dua masjid berkenaan.
Orang ramai juga digalakkan untuk terus menyokong usaha kebajikan dan pengimarahan masjid melalui sumbangan infak bagi memastikan kelangsungan program sepanjang bulan Ramadan.-EDISI UKAS