Agensi Kerajaan Bersatu Santuni Masyarakat Sempena Ramadan
DARO: Semangat kebersamaan terserlah menerusi Program Agihan Bubur Lambuk anjuran Tabung Baitulmal Sarawak Cawangan Daro dengan kerjasama MAKSAK dan PEMADAM Daerah Daro di perkarangan Rumah Rehat Kerajaan Daro, pada Selasa.
Program bersempena Ramadan itu menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan bagi menyemarakkan budaya penyayang dan mengeratkan silaturahim bersama masyarakat setempat.
Majlis dihadiri Pegawai Daerah Daro, Zul Usup yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad.
Menurut Ketua Bahagian Pejabat Baitulmal Sarawak Bahagian Mukah, Osman Immun, program tersebut menjadi platform memperkukuh kerjasama antara agensi serta menyantuni masyarakat.
Sebanyak 1,200 beg mengandungi bubur lambuk, minuman dan kurma diagihkan kepada orang ramai termasuk pengguna jalan raya di sekitar Pekan Daro.
Seawal jam 8.00 pagi, anggota pelbagai agensi bergotong-royong menyediakan juadah, di samping menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan berhati-hati ketika memandu.
Program itu sekali gus memperkukuh hubungan antara jabatan dan komuniti selaras dengan semangat Ramadan yang menitikberatkan nilai keprihatinan dan perpaduan. -EDISI UKAS