KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) semalam memberi tumpuan kepada pengumpulan pandangan dan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan berhubung isu-isu yang masih belum dimuktamadkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Mesyuarat yang diadakan di Bangunan Parlimen itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63.
Menurut beliau, pertemuan berkenaan bertujuan meneliti pandangan daripada kementerian dan agensi Persekutuan selain Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, termasuk mengenal pasti hala tuju serta pendekatan bersesuaian bagi menyelesaikan perkara-perkara yang masih tertangguh.
“Tiga kertas pembentangan turut dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kerajaan Persekutuan diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud bersama beberapa menteri lain.
Kerajaan Sarawak pula diwakili oleh ketiga-tiga Timbalan Premier iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Datuk Amar Prof Dr Sim Hui Hian.
Manakala bagi pihak Kerajaan Sabah diwakili Timbalan-Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan, Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Ewon Benedick.-EDISI UKAS