Premier Sarawak Berbuka Puasa Bersama PERYATIM Kuching, Santuni 63 Anak Yatim
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meneruskan aktiviti mengimarahkan Ramadan dengan menghadiri Majlis Berbuka Puasa, Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah bersama Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM) Cawangan Kuching yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya pada Selasa.
Sebelum ini, program berbuka puasa bersama PERYATIM lazimnya diadakan di bangunan PERYATIM sendiri ketika di bawah tampuk pimpinan Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang selaku Penasihat PERYATIM.
Selepas pemergian Allahyarhamah, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari telah mengambil alih kepimpinan sebagai Penasihat PERYATIM, meneruskan legasi serta kesinambungan program-program kebajikan yang telah sekian lama terbina di bawah naungan Allahyarhamah.
Program berbuka puasa pada tahun ini menjadi titik tolak baharu apabila buat pertama kalinya diadakan di Kompleks Satria Pertiwi, menandakan satu lembaran baharu dalam sejarah penganjuran majlis tahunan ini.
Terdahulu, majlis berbuka puasa dimulakan dengan bacaan tahlil ringkas yang dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Kasdinata Hashim diikuti dengan doa berbuka puasa sebelum para tetamu dan hadirin menikmati juadah berbuka.
Selepas berbuka, majlis diteruskan dengan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah.
Acara kemuncak pada malam tersebut adalah penyampaian sumbangan peribadi daripada Premier Sarawak dan keluarga kepada anak-anak PERYATIM Kuching di mana seramai 63 orang anak asuhan PERYATIM menerima sumbangan tersebut sebagai tanda kasih dan keprihatinan.
Sumbangan kepada anak-anak lelaki disampaikan sendiri oleh Datuk Patinggi Abang Zohari manakala sumbangan kepada anak-anak perempuan disampaikan oleh Dayang Norjihan selaku Penasihat PERYATIM.
Majlis turut diserikan dengan sesi bergambar bersama anak-anak sebagai kenangan, sebelum diakhiri dengan jamuan moreh selepas solat Tarawih.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Premier Sarawak dan keluarga atas kesudian meluangkan masa bersama anak-anak PERYATIM serta kepada semua tetamu yang hadir memeriahkan majlis yang penuh keberkatan itu.
Penghargaan turut dizahirkan kepada Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani atas segala jasa dan bakti beliau sepanjang memimpin PERYATIM.
Hadir sama, Ahli Korporat Tan Sri Dato Sri Bustari Yusof, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Amanah PERYATIM Sarawak Datuk Misnu Taha serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery & George Embie