Majlis Berbuka Puasa Eratkan Kepimpinan & Komuniti
SIMUNJAN: Majlis Berbuka Puasa anjuran Majlis Daerah Simunjan menjadi platform mengeratkan hubungan antara kepimpinan dan komuniti setempat dalam suasana penuh keberkatan Ramadan.
Majlis yang menghimpunkan kira-kira 100 tetamu terdiri daripada ahli majlis, ketua jabatan, kakitangan serta pemimpin masyarakat itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris; Pegawai Daerah Simunjan, Puan Sanuyah Mohamad; Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak; serta barisan ketua jabatan dan penghulu kawasan.
Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak berkata, penganjuran program seumpama ini bukan sahaja mengimarahkan Ramadan, malah menjadi medium memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga kerja dan masyarakat.
Menurut beliau, penghayatan nilai sabar, syukur dan keprihatinan yang dipupuk sepanjang Ramadan perlu diterjemahkan dalam penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berintegriti.
“Majlis ini memberi ruang untuk kita bermuhasabah dan mempererat silaturahim dalam suasana harmoni, sekali gus memperkukuh komitmen memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil, diikuti doa berbuka puasa serta solat Maghrib berjemaah sebelum diteruskan dengan jamuan dan sesi ramah mesra.
Penganjuran majlis tersebut diharap terus menjadi wadah penyatuan kepimpinan dan komuniti, sekali gus menyokong agenda pembangunan Simunjan yang inklusif dan mampan. – EDISI UKAS