LUNDU: Pelaksanaan projek di bawah inisiatif Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) terus merancakkan pembangunan infrastruktur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang turun padang meninjau kemajuan projek di Kampung Bitokan I, Kampung Sebandi Hilir, Kampung Pasir Hilir, Kampung Semapu serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu bersama wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Lundu dan agensi teknikal berkaitan.
Antara projek utama ialah naik taraf Balairaya Kampung Bitokan I bernilai RM250,000 melibatkan pembinaan lantai dan parit konkrit, pemasangan gutter, gabion dan tembok penahan tanah serta kerja pendawaian dan pengecatan.
Di Kampung Sebandi Hilir, projek pembinaan titian konkrit dan tiga pondok jeti nelayan bernilai RM250,000 dilengkapi guard rail serta lampu solar bagi meningkatkan keselamatan penduduk.
Balairaya Kampung Pasir Hilir pula dinaik taraf dengan peruntukan RM150,000 merangkumi pembesaran pentas, pembinaan dapur baharu, pembinaan semula tandas dan kerja mengecat.
Sementara itu, projek bernilai RM200,000 di Kampung Semapu melibatkan pemasangan siling dan kipas baharu, pendawaian semula, kerja mengecat serta penambahbaikan dapur, selain cadangan pembinaan gelanggang terbuka melalui dana MRP.
Dalam sektor pendidikan, peruntukan RM420,000 disalurkan bagi kerja membaik pulih Kelas Tingkatan Enam di SMK Lundu merangkumi penukaran cermin dan pintu, pemasangan lampu serta kipas baharu, pendawaian semula, pengecatan 12 bilik darjah dan pemasangan grill keselamatan.
Menurut Billy Sujang, projek berkenaan bukan sekadar menambah baik kemudahan fizikal, malah menjadi pemangkin pengukuhan aktiviti sosial, ekonomi dan pendidikan masyarakat luar bandar.
Tegas beliau, pembangunan infrastruktur yang dirancang secara menyeluruh amat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin, selaras dengan agenda pembangunan luar bandar yang inklusif dan mampan di Opar. – EDISI UKAS