Bantuan Pendidikan Bantu Anak Keluarga Miskin Tegar Keluar Dari Kitaran Kemiskinan
BETONG: Seramai 45 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Sarawak menerima bantuan di bawah Program Serahan Sejahtera MADANI Pendidikan: Kasih Siswa bagi membantu meringankan beban keluarga miskin tegar.
Pengarah Pembangunan Negeri Sarawak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Dato Jasni Jubli berkata pendidikan merupakan asas penting dalam usaha membantu keluarga miskin tegar keluar daripada kitaran kemiskinan.
Menurut beliau, walaupun berdepan pelbagai kekangan hidup, ramai ibu bapa daripada golongan tersebut tetap berusaha memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan demi masa depan yang lebih baik.
“Situasi keluarga miskin tegar di Sarawak sememangnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, malah ada yang berdepan kekurangan makanan di rumah serta keadaan kediaman yang kurang selesa.
“Namun begitu, ibu bapa tetap berusaha menghantar anak-anak ke sekolah kerana mereka percaya pendidikan mampu membuka peluang kehidupan yang lebih baik dan seterusnya membantu keluarga keluar daripada kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Sejahtera MADANI Pendidikan: Kasih Siswa dan Kebajikan: Ziarah Kasih Ramadan 1447H di Kompleks Kerajaan Negeri Bahagian Betong pada Rabu.
Di Sarawak, seramai 45 pelajar IPT yang merupakan Ahli Isi Rumah (AIR) berdaftar di bawah sistem eKasih menerima bantuan bernilai RM1,450 setiap seorang merangkumi wang tunai RM300, bakul makanan serta simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM1,000.
Dalam majlis sama, turut diadakan penyerahan bantuan kepada dua mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Baru, Maludam, Pusa yang berlaku pada Jumaat lalu.
Mangsa terjejas, Beya Jupong dan Lemba Bulik, masing-masing menerima wang tunai RM500 serta bakul makanan bernilai RM250 bagi membantu meringankan beban selepas musibah tersebut.
Selain itu, Program Sejahtera MADANI Kebajikan: Ziarah Kasih Ramadan 1447H turut menyaksikan seramai 500 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima bantuan wang tunai dan bakul makanan bernilai RM500 sebagai persiapan menghadapi Ramadan.-EDISI UKAS