Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi, Premier Sarawak Hadiri Majlis Sungkei Perdana 2026
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah hadir menyerikan Majlis Sungkei Perdana 2026 yang berlangsung di Surau Astana Negeri Sarawak, Petra Jaya pada Rabu.
Premier Sarawak tiba sekitar 6.40 petang hadir bersama anakandanya Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari.
Ia disusuli dengan ketibaan Yang di-Pertua Negeri Sarawak bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi sekitar 6.50 petang.
Sebaik tiba, kedua-dua tetamu kehormat bersama dif kenamaan lain berbuka puasa disusuli dengan menunaikan solat fardhu Maghrib bersama dif kenamaan Islam yang lain.
Hadir pada majlis tersebut, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, barisan Timbalan Menteri Sarawak, Ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain.
Usai menjamu juadah, dif-dif kenamaan terus menunaikan solat Isyak dan diteruskan lagi dengan solat sunat Tarawih sebelum majlis diakhiri dengan jamuan moreh. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie