Program Kasih Ramadan TBS Santuni 18 Keluarga Asnaf di Lawas
LAWAS: Seramai 18 keluarga asnaf menerima bantuan kewangan menerusi Program Kasih Ramadan dalam Majlis Iftar Bersama Asnaf Daerah Lawas anjuran Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) melalui Pejabat Perhubungan Lawas yang berlangsung di Restoran Mutiara Lawas.
Bantuan tersebut disampaikan oleh Ketua Bahagian TBS Limbang, Nor Nadiah Abas yang menyempurnakan penyerahan bantuan kewangan berjumlah RM14,950 kepada kesemua penerima sebagai usaha menyantuni golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
Menurut beliau, secara keseluruhan Pejabat Perhubungan Lawas, TBS akan mengagihkan bantuan kewangan berjumlah RM38,950 kepada 55 penerima yang terdiri daripada ketua keluarga dan tanggungan di bawah Bantuan Sara Hidup TBS sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
Selain bantuan kewangan, para penerima turut menerima sumbangan kotak makanan serta kuih raya bagi membantu persiapan menyambut Aidilfitri.
“Program ini bukan sekadar berbuka puasa bersama, tetapi melambangkan kebersamaan, kasih sayang serta keprihatinan dalam bulan Ramadan.
“Semoga para penerima gembira dengan sumbangan yang disediakan,” katanya ketika berucap pada program tersebut pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Pejabat Perhubungan Lawas, TBS menyediakan seramai 42 Amil Zakat Fitrah bertauliah di seluruh daerah tersebut yang ditempatkan di masjid, surau serta beberapa lokasi strategik bagi memudahkan masyarakat menunaikan kewajipan zakat fitrah.
Program berkenaan merupakan antara inisiatif berterusan TBS dalam memperkukuh jaringan kebajikan serta memastikan golongan asnaf terus disantuni, sekali gus menyemarakkan semangat Ramadan melalui pendekatan yang lebih menyeluruh dan berfokus kepada kesejahteraan masyarakat.-EDISI UKAS