Piala Perpaduan Edisi Ke-58 Tampil Pendekatan Baharu, Perkasa Bakat Bola Sepak Akar Umbi
KUCHING: Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan yang memasuki edisi ke-58 tahun ini tampil dengan beberapa pendekatan baharu termasuk pertambahan jumlah hadiah wang tunai serta pengenalan kategori veteran 40 tahun ke atas.
Perkara tersebut diumumkan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datu Abdullah Julaihi semasa majlis penyerahan tajaan sempena Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan di sini pada Rabu.
Menurut beliau, kejohanan yang mula diperkenalkan sejak tahun 1967 itu bukan sekadar pertandingan sukan, malah menjadi platform penting dalam memupuk semangat perpaduan serta mencungkil bakat baharu khususnya dalam kalangan pemain bola sepak di Asajaya, Kota Samarahan dan Sarawak secara amnya.
“Piala ini dicetuskan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dengan menjadikan semangat perpaduan sebagai asas utama penganjurannya, khususnya bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya pada sidang media selepas majlis tersebut.
Turut hadir Pengarah Urusan Lea Sports Centre (LSC), Raymond Sim serta tetamu jemputan lain.
Datu Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, pihak penaja serta media atas sokongan berterusan terhadap penganjuran kejohanan yang telah berlangsung hampir enam dekad itu.
Kejohanan yang dijadual bermula pada 3 Syawal ini dianjurkan oleh Kelab Bola Sepak Sambir Bistari dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Kota Samarahan serta Persatuan Bola Sepak Sarawak.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, kejohanan ini sekali lagi mendapat sokongan Lea Sports Centre sebagai penaja utama selain kerjasama pelbagai pihak termasuk jawatankuasa kampung serta golongan belia setempat.
Setakat ini, lebih 20 pasukan telah mendaftar menyertai kejohanan berkenaan dan jumlah penyertaan dijangka tidak melebihi 50 pasukan bagi memastikan pengurusan pertandingan lebih teratur, berdisiplin serta menitikberatkan aspek keselamatan.
Mengulas lanjut, beliau berkata bagi edisi kali ini jumlah keseluruhan hadiah wang tunai yang ditawarkan adalah sebanyak RM21,500.
Bagi kategori utama, pasukan johan bakal membawa pulang RM7,000, naib johan RM5,000 manakala tempat ketiga menerima RM3,000.
Selain itu, setiap pasukan yang tidak berjaya mara ke peringkat separuh akhir turut menerima saguhati sebanyak RM500 sebagai galakan penyertaan.
“Platform ini bukan sekadar menentukan juara, tetapi menjadi medan untuk melahirkan pemain muda berpotensi yang boleh diserap ke dalam kelab bola sepak tempatan dan seterusnya mewakili Sarawak,” ujarnya.
Bagi kategori veteran 40 tahun ke atas yang diperkenalkan tahun ini, penyertaan dihadkan kepada 12 pasukan sahaja.
Johan kategori tersebut akan menerima RM1,500 berserta piala dan medal, naib johan RM1,000 manakala tempat ketiga bersama menerima RM500.-EDISI UKAS