KUCHING: Sebanyak 10,000 naskhah mushaf wakaf diagihkan ke seluruh Sarawak menerusi Majlis Agihan Mushaf Wakaf Bahagian Kuching yang berlangsung di Dewan Majma Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, pada Rabu.
Program ini merupakan inisiatif strategik di bawah seliaan Majlis Islam Sarawak (MIS) yang dilaksanakan oleh Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana (DHQc-MIS) bersempena bulan Ramadan.
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebahagian mushaf diagihkan kepada penerima di Bahagian Kuching melalui majlis berkenaan, manakala selebihnya akan diedarkan secara berperingkat ke bahagian dan daerah lain di seluruh Sarawak.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Dalam ucapannya, beliau berkata pengagihan 10,000 mushaf wakaf itu bukan sekadar inisiatif kebajikan, sebaliknya sebahagian daripada pelan pembangunan Al-Quran yang dirangka secara strategik dan berjangka panjang di Sarawak.
Menurut beliau, selaras dengan visi DHQc-MIS untuk menjadi pusat pembudayaan dan pengembangan ilmu Al-Quran, institusi tersebut berperanan mendidik serta membimbing masyarakat Islam Sarawak ke arah pembentukan ummah yang sejahtera dan progresif berteraskan Al-Quran.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha berstruktur sedemikian penting bagi memastikan pembudayaan Al-Quran tidak bersifat bermusim, sebaliknya menjadi teras pembangunan insan dan masyarakat secara menyeluruh di negeri ini.
Inisiatif tersebut direalisasikan melalui kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk Yayasan Tun Rahah selaku pewakaf utama, Percetakan Nasional Malaysia Berhad, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta agensi-agensi berkaitan.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha serta Mufti Sarawak, Sahibus Sahimah Datu Khalidi Ibrahim.-EDISI UKAS